Skip to main content

oleh Farhana Adiba Abdul Rahim

Ramai di antara kita yang tidak sedar akan kebaikan berpuasa kepada kesihatan manusia. Kebanyakan daripada kita berpuasa kerana tuntutan agama, dan ada yang berpuasa atas tujuan ingin tampil lebih ramping dan anggun. Apapun niat anda, ketahuilah bahawa berpuasa mampu menyihatkan tubuh badan anda.

Puasa Memperbaiki Komposisi Dan Kecergasan Badan
Selain puasa wajib pada bulan Ramadhan, ada di antara kita yang berpuasa kerana berminat akan kesan puasa terhadap tisu lemak di badan dan pengurangan berat badan secara keseluruhan. Berpuasa menyumbang kepada komposisi badan yang lebih baik melalui pelbagai cara, terutamanya melalui tindakan hormon dan metabolisma lemak.

Puasa Meningkatkan Tahap Kekenyangan Walaupun Makan Sedikit
Tisu lemak anda berfungsi untuk menghasilkan beberapa jenis hormon. Salah satu daripadanya adalah leptin, yang memberi kesan pada tahap kekenyangan anda. Dengan berpuasa, tahap leptin dalam badan akan menurun pada peringkat awal, namun apabila berat anda turut menurun, rintangan terhadap leptin juga berkurangan. Justeru, menjadi lebih responsif kepada leptin akan meningkatkan tahap kekenyangan anda.

Puasa Mengurangkan Keradangan
Keradangan boleh disebabkan oleh banyak faktor, salah satu daripadanya adalah diet yang tidak sihat. Makanan yang mengandungi gula halus, karbohidrat halus, alkohol, daging, tenusu dan makanan bergoreng boleh menyebabkan keradangan. Reaksi metabolik juga turut boleh menyebabkan keradangan. Berpuasa mengurangkan keradangan melalui keseimbangan hormon yang lebih baik. Beberapa kajian menunjukkan bahawa tahap insulin yang lebih rendah serta sensitiviti insulin yang lebih baik mengurangkan stress oksidatif yang berpunca daripada free radicals.

Puasa Menyokong Pembakaran Lemak Dan Ketosis
Ketosis, atau keadaan di mana lemak terbakar, tercapai sama ada melalui berpuasa atau pengambilan makanan berdiet seperti lemak sihat. Ketosis membantu membakar simpanan lemak pada organ seperti hati dan buah pinggang. Lemak berlebihan pada organ-organ utama ini berupaya mengganggu fungsi organ berkenaan. Berpuasa mampu mencapai ketosis lebih cepat berbanding pengurangan pengambilan makanan berkalori. Satu kajian mendapati bahawa berpuasa meningkatkan metabolisma badan manusia secara mendadak.

Puasa Menambahbaik Kesihatan Kardiovaskular
Berpuasa mempunyai banyak kebaikan kepada kesihatan kardiovaskular, terutamanya kepada mereka yang mempunyai masalah kesihatan berkaitan sindrom metabolisma. Berpuasa memperbaiki fungsi kardiovaskular, komposisi darah dan tekanan darah. Berpuasa juga baik untuk mereka yang menghidap type 2 diabetes (kencing manis) dan kolestrol tinggi.

Puasa Mengurangkan Tekanan Darah
Ketika berpuasa, tekanan darah dalam badan manusia akan menurun pada peringkat awal, terutamanya dalam minggu pertama berpuasa. Tekanan darah rendah berlaku kerana pengurangan pengambilan garam secara mendadak dan peningkatan kehilangan garam melalui proses pelawasan (kencing).

Puasa Mengurangkan Tahap Gula Dalam Darah
Dalam masa beberapa hari berpuasa, gula dalam darah akan menurun lebih daripada 30%. Bagi mereka yang menghidapi hyperglycemia (gula banyak dalam darah), berpuasa adalah sangat baik untuk anda. Penurunan gula selalunya akan membuatkan seseorang berasa kurang bertenaga, namun tahap gula dalam darah akan stabil apabila puasa berterusan.

Puasa Memperbaiki Proses Kitar Semula Sel (Cell Recycling)
Apabila usia kita meningkat, sel jahat (rogue cells), di dalam dan luar badan akan membiak ke seluruh tubuh, menyebabkan kerosakan tisu badan serta menyumbang ke arah penyakit progresif. Berpuasa memperbaiki badan melalui kitar semula sel, melalui proses autophagy. Proses ini menyasarkan pencernaan sel-sel rosak dan tisu tua pada peringkat selular.

Puasa Mengurangkan Penghasilan Protein Berbahaya
Terdapat banyak protein dan produk metabolik yang boleh menyebabkan keradangan, terutamanya di dalam otak. Berpuasa dan pengehadan kalori menghalang penghasilan radikal dan protein berbahaya seperti inflammatory cytokines. Kajian menunjukkan bahawa berpuasa mampu mengurangkan penghasilan keduanya dan melindungi manusia daripada penuaan otak.

Puasa Menyokong Kolagen Yang Lebih Sihat Di Dalam Kulit
Diet sihat adalah penting untuk penampilan kulit yang lebih berseri. Berpuasa sebenarnya mampu menambah baik integriti kulit anda. Gula yang tinggi dalam darah mengubah struktur kolagen, melemahkan kekuatan dan ketahanannya. Memandangkan berpuasa berupaya mengurangkan tahap gula dalam darah, anda boleh menganggap puasa sebagai rutin penjagaan kulit yang percuma dan semulajadi.

Lain-Lain Kebaikan Berpuasa

  • Puasa meningkatkan metabolisma badan.
  • Puasa menggalakkan sensitiviti insulin yang lebih baik.
  • Puasa mengurangkan risiko saluran arteri tersumbat.
  • Puasa meningkatkan kesihatan jantung.
  • Puasa berupaya melambatkan penuaan dan meningkatkan umur manusia.
  • Puasa mengurangkan risiko pertumbuhan dan penyebaran tumor.
  • Puasa melindungi otak daripada penyakit berbahaya.
  • Puasa menggalakkan respon sihat terhadap stress.
  • Puasa baik untuk pemulihan daripada kecederaan.